40 tahun tanpa bekalan air bersih, di mana keadilan?
Kuda Ranggi
Saya agak tergamam mendapat tahu menerusi siaran berita TV3 pukul 1.30 petang hari ini, 18 Mac, yang melaporkan keperitan penduduk di Kampung Tambalung, Kota Belud, Sabah, yang masih bergantung kepada sungai dan air hujan untuk bekalan air, iaitu untuk minum, memasak makanan, membasuh pakaian dan mandi.
Apa dah jadi dengan janji-janji yang diulang-ulang setiap kali menagaih undi rakyat semasa menghadapi pilihan raya?
Penduduk Kampung Tambalung tidak mendapat bekalan air bersih, walaupun berulang kali dipohon, sejak 40 tahun lalu. Sedih, memang sedih memandangkan pada tahun ini Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-50, setengah abad. Ini bermakna penduduk Kampung Tambalung tersisih daripada arus pembangunan hakiki sejak Sabah merdeka melalui Malaysia pada tahun 1963.
Para pemimpin kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah begitu bangga dengan pembangunan fizikal yang dicapai selama ini. Bangga dengan Menara Berkembar Petronas, bangga dengan Lebuh Raya Utara-Selatan, bangga dengan Lapangan Terbang di Sepang dan di Kota Kinabalu, bangga dengan Litar F1, bangga dengan pelabuhan-pelabuhan di Tanjong Pelepas, di Pelabuhan Klang, di Kota Kinabalu dan bangga dengan kilang-kilang elektronik dan sebagainya.
Dalam kebanggaan itu, rupa-rupanya masih ada penduduk yang belum dapat menikmati bekalan air bersih, atau menikmati bekalan elektrik dan sistem jalan yang sempurna.
Apalah erti 50 tahun kegemilangan kemerdekaan. Di mana letaknya keadilan dalam pengagihan nikmat pembangunan. Di mana?
Saya masih ingat semangat dan cita-cita kerajaan yang dilontarkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1982 semasa memperkenalkan dasar kependudukan Malaysia ke arah 70 juta penduduk.
Dalam mengatur strategi yang perlu untuk mencapai tujuan itu, kerajaan telahpun menjangkakan penggunaan air sebanyak 15.6 bilion meter padu. Kekurangan dijangkakan akan berlaku pada tahun 2000, iaitu tujuh tahun lalu, bagi jumlah penduduk sebanyak 21 juta. Sekarang, jumlah penduduk mencapai 26 juta.
Persoalan yang ingin saya ajukan ialah apakah kerajaan tidak mempunyai perancangan yang betul setelah dapat menjangkakan kekurangan bekalan air akan berlaku? Bukankah bekalan air merupakan hak asasi manusia untuk hidup?
Apakah jadahnya kita terus membekal air kepada Singapura sedangkan rakyat kita sendiri tidak dapat bekalan air bersih?
Kita juga ingin tahu apa dah jadi dengan dasar makanan, air dan pertanian yang dijanjikan oleh kerajaan. Kerajaan menyebut bahawa tekanan harus diberi ke atas kecukupan dari segi taburan, perubahan corak penggunaan dan juga ke atas peningkatan cara-cara penghasilan. Jika dasar ini dilaksanakan dengan betul, adil dan telus, masakan ada rakyat yang tidak mendapat bekalan air sejak 40 tahun lalu?
Malaysia mempunyai bermacam-macam kementerian dan agensi yang bermatlamat membasmi kemiskinan dan menaikkan taraf hidup rakyat. Kerajaan berjanji untuk mengadakan kemudahan-kemudahan asas yang cukup terutama bekalan air dan elektrik, tetapi setelah 50 tahun merdeka, kenapa masih ada kampung yang tidak mendapat bekalan air, bekalan elektrik dan sistem jalan yang sempurna?
Dalam kes Kampung Tambalung, jelas sekali bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah telah gagal memenuhi tanggungjawab dan amanah kepada penduduk di situ yang masih belum diberi bekalan air bersih.
Adakah ini selari dengan slogan "Malaysia - Cemerlang, Gemilang dan Terbilang" atau memenuhi konsep dan pendekatan Islam Hadhari?

0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home