Perbuatan mengorek lubang hidung di hadapan orang awam amatlah tidak sopan sekalipun anda seorang pembesar negeri. Namun, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Musa Khan bin Haji Aman Khan Al-Pushtuni, adalah ibarat itu, malah lebih dahsyat, mengorek lubang hidungnya dengan ibu jari kakinya.

Sempena memperingati Jubli Emas Kemerdekaan Malaya (Malaysia 1963), adalah amat wajar kita menilai tata kelakuan pemimpin Umno Sabah setelah kita diaibkan oleh Datuk Seri Panglima Haji Osu Haji Sukam dengan hutang judinya dengan Kasino di London.

Sungguh malangnya nasib rakyat Sabah kerana mempunyai pemimpin yang tingkahlakunya seperti penjenayah kolar putih kerana melakukan perbuatan yang di luar Perlembagaan dan Undang-Undang, namun ia terus disanjung dan dipuja.

Pada 26 Februari 2007, bekas Setiausaha Task Force Umno Sabah, Haji Jabar Khan @ Yasser Arafat, mendedahkan di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Integriti, bahawa skandal projek pengeluaran 82,000 keping kad pengenalan kepada warga Indonesia dan Filipina ditaja dan dipengerusikan oleh Musa Khan dengan bantuan Datuk Yahya Hussin dan Allahyarham Datuk Haji Abdul Malik Chua.

Dalam kesibukan berpolitik, Musa ’jatuh cinta’ dengan seorang gadis Indonesia yang memang jelita, namun amat malang kerana gadis kacukan itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri melainkan ’harga diri seorang gadis’ yang telah diserahkan kepada Musa sebagai imbalan Musa mengarahkan Pegawai Pendaftaran Sabah, Mohd Tohid Mohammad (mantan tahanan ISA) memberikan sekeping kad pengenalan biru, yang telah mengubah nasibnya.

Dengan kad pengenalan projek yang ditaja oleh Musa Khan, Rahmawati diambil bekerja sebagai kerani di Yayasan Sabah walaupun tidak mempunyai sebarang kelulusan.

Musa dan Rahmawati terlanjur dan Rahmawati mengandungkan anak Musa Khan. Bagi menutup malu, Musa mengirim Rahmawati ke Banjir Masin, Indonesia, tempat asal keluarga Rahmawati untuk melahirkan anak.

Setelah habis pantang, Musa Khan bernikah secara sah dengan Rahmawati (tanpa mempedulikan peraturan poligami) dan menghantar Rahmawati melanjutkan pelajaran ke Australia sehingga Musa menjadikan Australia sebagai destinasi percutian agar dapat melepaskan rindu melihat anak dan isteri jelitanya. Setelah lulus (sijil dibeli), Rahmawati kembali ke Sabah tetapi ditukarkan ke Sandakan sebagai Pengurus Wilayah Yayasan Sabah.

Oleh kerana sering kesunyian, Musa Khan melepaskan rindunya kepada pembantu peribadinya (PA) yang bernama Jennifer Marcus yang berdarah kacukan. Apabila suami Jennifer mendapat tahu, maka dia terpaksa menceraikan Jennifer walaupun mereka mempunyai dua orang anak yang rupa parasnya amat mencurigakan kerana diyakini bukan anaknya, sebaliknya ada iras ’Khan’. Bapa Jennifer pernah bekerja di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tapi sudah meninggal dunia.

Akhirnya Musa terpaksa mengahwini Jennifer yang kini membantunya menguruskan perniagaannya di Kuala Lumpur dan dikawal ketat oleh orang kepercayaan Musa, Mazlan Zakaria.

Manakala isteri rasmi Musa Khan, Datin Faridah Tussin terpaksa menjeruk hati sehingga menjadi agen menjual beg tangan Bonia dan meluahkan rasa resah gelisah dan kecewanya terhadap Musa kepada rakannya dalam Bakisa.

Ketiga-tiga mereka masih menjadi isteri Musa. Kini, Musa Khan dimaklumkan sedang berjinak-jinak dengan seorang wanita Cina yang diperkenalkan oleh Nasir Yeo, wanita Cina yang berasal dari Filipina, tetapi diberi kad pengenalan projek oleh Musa.

Nasir Yeo tinggal berjiran dengan Musa di Kampung Tinusa, Sandakan. Nasir merupakan ’bapa ayam’ terhormat yang dipercayai Musa, selain John Ambrose. Musa tahu Nasir Yeo, seorang yang muflis, namun menggunakannya sebagai nominee untuk skandal kayu balak di kawasan Benta Wawasan.

30 tahun lalu, Mazlan hanyalah seorang bellboy di Hotel Hilton Kuala Lumpur yang menjadi hotel pilihan orang kaya dari Sabah, terutama Musa Khan.

Oleh kerana keramahan dan ringan tulang, maka Musa berkenan mengambil Mazlan bekerja dengannya. Sebagai anak muda yang bercita-cita tinggi, Mazlan menjadi ’Orang Suruhan’ Musa terutama menjaga Jennifer Marcus yang tinggal di Kuala Lumpur.

Mazlan adalah nominee Musa Khan dalam semua syarikat yang melibatkan kepentingan Musa terutama 1Borneo dan Warisan Square yang dibangunkan secara usahasama dengan Sagajuta Sabah Sdn.Bhd. Mazlan dilantik sebagai Pengarah Sagajuta (Sabah) Sdn.Bhd, Ramajuta Properties Sdn.Bhd, Nusmetro Development (Sabah) Sdn.Bhd dan beberapa syarikat lagi setelah Musa Khan dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah.

Mazlan yang tinggal di Lot 3459, Jalan Melawati 6, Fasa 6, Taman Melawati, Kuala Lumpur sering datang ke Sabah untuk mengiringi Musa Khan ke Kuala Lumpur atau melakukan tugas rahsia. Ketika Musa kembali ke Kota Kinabalu, Mazlan kelihatan menyambut Musa di Lapangan Terbang Kota Kinabalu.







Baru-baru ini Mazlan mengatur pertemuan dengan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Zulkifli Mohd Noor di Hotel Mandarin Kuala Lumpur dua hari selepas Datuk Dr Jeffrey Kitingan memfailkan 20 tuduhan rasuah terhadap Musa Khan sehingga Pengarah BPR Sabah, Latifah diarah menangguhkan akuan penerimaan laporan Jeffrey kerana mereka sedang berunding.

Mengikut maklumat yang boleh dipercayai, Musa Khan telah membayar RM700,000 kepada Zulkifli bagi melengahkan tindakan dan tidak mengambil tindakan terhadapnya (visual tidak dapat disiarkan atas sebab-sebab tertentu). Namun Khairy Jamaluddin dapat menghidu campurtangan yang berlaku, lalu menasihati Pak Lah agar membersihkan nama baiknya. Peguam Negara diminta mengarahkan Ketua Polis Negara menjalankan siasatan rapi terhadap Zulkifli kerana bukti sogokan Musa lebih jelas daripada kes Ramli Manan, sekaligus menangkap jerung yang memakan ikan.

Kebijaksanaan Peguam Negara, Gani Patail memang terpuji kerana jika membongkar kes Musa Khan hanya mengotorkan tangannya, sebaliknya dengan menyiasat Zulkifli, semua kes akan terbongkar termasuk sogokan Musa Khan.

Jika Ketua Menteri Sabah yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri terlibat dengan Skandal Projek Kad Pengenalan dan memelihara Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di dalam rumahnya sendiri, maka siapakah yang boleh diharapkan menjaga negeri Sabah?