Saturday, June 17, 2006

Sabah paling mundur, walaupun kaya sumber asli

Saturday, June 17, 2006

Malaysia Today

Sabah adalah negeri paling lemah pengurusannya dan negeri yang paling rendah kawasan bekalan airnya, pertumbuhan penduduk tertinggi, paling ramai pendatang haram, paling tinggi kadar kemiskinan, paling rendah kadar efisien bekalan elektriknya dan negeri paling rendah kadar pembangunannya di Malaysia. Itulah rumusan yang telah dibuat daripada kajian dan penyelidikan untuk Rancangan Malaysia Ke-9.

Sabah merupakan negeri paling bawah Indeks Komposit Pembangunannya mendapat hanya 90 berbanding yang tertinggi oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 109.6. Malah, Kelantan masih boleh berdiri di hadapan Sabah dengan indeks 93.1.

Menjadi negeri paling kurang dibangunkan di Malaysia seolah-olah menjadi balasan kepada rakyat Sabah yang telah memberi kuasa mutlak kepada BN tanpa apa-apa tentangan. Masa sudah tiba bagi rakyat Sabah desak dan gesa untuk perubahan dengan mengundi pembangkang yang bersih daripada amalan rasuah dan kronisme.

Sabah yang kaya dengan hasil bumi, sungguh tidak wajar rakyatnya hidup dalam keadaan miskin yang tegar, bekalan elektrik yang sering terganggu, pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya yang lemah, bekalan air yang selalu terputus, menjadi terpinggir dengan ramainya pendatang haram dan jurang yang semakin lebar antara yang kaya dan miskin.

Sabah mempunyai purata pendapatan bulanan sebanyak RM2,487 dalam tahun 2004. Berapa banyak isi rumah yang mempunayi purata pendapatan bulanan sebanyak RM2,487, apabila Sabah mempunyai kadar kemiskinan paling tinggi iaitu 23%.Malaysia sebenarnya sebuah negara yang kaya, namun, kekayaannya tidak dibahagikan dan dikongsikan bersama kalangan rakyatnya. Sebagai negara pengeluar minyak, rakyat Malaysia belum pernah menerima sesen pun daripada pendapatan dari minyak melalui Petronas, iaitu RM500 bilion sejak ia ditubuhkan 31 tahun lalu, dalam tahun 1974. Jika jumlah tersebut dikongsikan bersama semua rakyat Malaysia yang memerlukan dan tidak berada, setiap rakyat tua dan muda boleh mendapat sekurang-kurang RM20,000 setiap orang.

Adalah sangat penting bagi rakyat mendapat keadilan ekonomi bukan saja dari kerajaan Sabah tetapi juga dari Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bagi mengelak pendapatan daripada minyak Sabah disalahguna oleh segelintir yang berkuasa.Jika rakyat Sabah mahu mendapat hak mereka yang sewajarnya daripada manfaat ekonomi dan hak demokrasi, rakyat Sabah perlu mengubah cara memilih kerajaan. Memilih barisan pimpinan negeri dari kalangan pembangkang yang diketahui bersih dan akan membela nasib rakyat Sabah yang sekian lama dilupakan.