Friday, March 16, 2007

Tanah USIA dibangunkan bukan beri manfaat kepada rakyat Sabah

Malaysia Today

Kebijaksanaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Musa Khan Bin Haji Aman Khan memujuk Pengerusi Perbadanan Pelancongan Negeri Sabah (TDC) yang juga pemilik Syarikat Alam Mesra Sdn Bhd Datuk Tengku Adlin telah menyerahkan secara percuma kawasan seluas 25 ekar daripada jumlah keluasan tanah yang dimiliki oleh syarikat berkenaan di bibir Lebuhraya Sulaman, berhampiran Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada Persatuan Islam Negeri Sabah (USIA). Namun, tindakan tersebut mempunyai maksud yang tersirat.


DATUK SERI PANGLIMA MUSA KHAN AMAN KHAN


RAYMOND CHAN BOON SIEW


TUN SAKARAN DANDAI

Sebagai seorang peniaga (Pakistan) yang bijak mencipta ruang dan peluang, Musa Khan kemudiannya memujuk Tun Sakaran Dandai yang merupakan Yang Dipertua USIA ’Seumur Hidup’ untuk membangunkan tanah yang diwakafkan oleh Tengku Adlin sebagai pusat maksiat terbesar di Asia Tenggara iaitu 1Borneo (sebut One Borneo).

Dengan itu, Tun Sakaran telah mengadakan kerjasama dengan seorang ahli perniagaan dari Semenanjung, Raymond Chan Boon Siew. Kerjasama paling menguntungkan bagi Raymond, iaitu membina Kompleks Membeli dan membelah poket rakyat Sabah.

Kompleks yang dinamakan 1Borneo itu dicadangkan sebagai yang terbesar dan termoden di Asia Tenggara akan dilengkapi dengan hoverkraf iaitu sejenis pengangkutan air yang seakan terbang di atas air selepas beberapa minit berlepas dan yang pertama di rantau ini.


Raymond bangga menunjukkan projek MEGA nya. Laluan hoverkrafnya akan menjadi mimpi ngeri nelayan

Projek bernilai RM1 bilion itu akan dibangunkan oleh Sagajuta (Sabah) Sdn Bhd yang dimiliki oleh Raymond Chan Boon Siew, Mazlan Zakaria dan seorang rakyat Sabah, Tan Tiang Lai. Namun agak menghairankan kerana Raymond berselindung di sebalik nama Sagajuta (Sabah) Sdn Bhd.


Model 1Borneo dari sudut pandangan arkitek

Pemegang saham Sagajuta (Sabah)Sdn Bhd ialah Ramajuta Properties Sdn.Bhd iaitu syarikat milik Raymond dan Mazlan iaitu syarikat yang telah menggagalkan Projek Perumahan Kos Rendah Kerajaan Negeri di Kuala Menggatal.

Ramajuta Properties Sdn.Bhd mempunyai nilai berbayar RM2 juta namun memiliki liabiliti RM29.125 juta.

Namun sekali lagi, Raymond bermain silap mata apabila pemegang Saham Ramajuta Properties Sdn Bhd sejumlah RM2 juta ialah Nusmetro Development (Sabah) Sdn Bhd yang juga dimiliki oleh Raymond Chan, Mazlan Zakaria dan Hasil Deras Property Sdn Bhd yang mempunyai modal berbayar hanya RM1,000 sahaja dan mempunyai liabiliti RM627,297.



Kecekapan Raymond memperdayakan Musa Khan dan Tun Sakaran melalui projek mega ini yang hanya 20 peratus siap menyebabkan pasaran hartanah di Teluk Likas yang sebelum ini kawasan penempatan setinggan melonjak secara mendadak dengan janji akan menyediakan perkhidmatan hoverkraf yang moden.





Tanpa disedari, Raymond telah memperdayakan Musa Khan untuk kepentingan syarikatnya, yang mengamalkan konsep tiga dalam satu, Sagajuta di dalam perut Ramajuta dan Ramajuta di dalam rahim Nusmetro dan ketiga-tiga syarikat ini dalam genggaman Raymond.

Apa yang Musa Khan dapat? Janji Raymond hanya tinggal janji kerana RM10 juta yang diserahkan kepada Musa sebagai imbalan permainan ’cinabuta’ dengan USIA hanyalah sekelumit dan baki RM90 juta inilah yang masih dikejar Musa Khan.

Raymond berjaya meyakinkan Musa Khan akan kehebatan hoverkraf yang akan beroperasi di kawasan nelayan dan pengusaha bot pelancongan ke Pulau Manukan, Mamutik, Sapi dan Gaya.

Sekiranya hoverkraf impian Raymond ini menjadi kenyataan, bagaimanakah nasib nelayan yang menggunakan Teluk Gaya dan pengusaha bot pelancongan ke taman-taman Sabah dapat mencari rezeki?

Memandangkan maritim terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan terutama laluan air dan penubuhan dermaga yang tidak memungkinkan Raymond membina jeti khas daripada Warisan Square yang bersebelahan Centre Point Kota Kinabalu ke 1Borneo melainkan dengan menggunakan kebijaksanaan Musa sebagaimana kes tapak tanah Bangunan Umno Sabah.

Suatu masa dahulu, Kerajaan Negeri telah memaksa jeti pendaratan pengangkutan laut ke taman-taman Sabah berpindah daripada struktur haram di belakang sebuah hotel terkemuka ke Terminal Feri di Pelabuhan Lama Kota Kinabalu yang dinaik taraf.

Apakah Musa Khan akan memberi kelulusan khas dengan menggunakan kuasa eksekutifnya mengarahkan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga serta Jabatan Laut meluluskan permohonan Raymond bagi mengutip RM90 juta yang masih berada di dalam kocek Raymond?


Kompleks Warisan Square yang terletak berhampiran Centre Point Kota Kinabalu

Warisan Square yang akan mempunyai hotel 200 bilik, 44 unit ruang pejabat dan 141 ruang niaga, tetapi sehingga kini kebanyakannya masih kosong.

Musa Khan tidak dapat menjangka apa yang dirancang oleh Raymond. Musa Khan mengarahkan Pengerusi Sabah Energy Corporation (SEC) YB Au Kam Wah, memindahkan operasi pejabatnya daripada Wisma Boon Siew milik keluarga Raymond Chan Boon Siew ke Wisma Bandaraya.

Persoalannya, mampukah Raymond yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Western Michigan, Amerika Syarikat ini menyiapkan projek bernilai RM1 bilion ini atau hanya mahu mempergunakan projek mega ini untuk mengaut untung besar? Jika projek LPPB di Kuala Menggatal tidak berjaya disiapkan oleh Ramajuta Properties Sdn Bhd, mampukah Raymond menyiapkan projek tersebut dan tidak memalukan Tun Sakaran?

Apakah perjanjian perkongsian projek mega ini bestari dan menguntungkan USIA atau Musa Khan mempunyai perancangan untuk menggagalkan projek ini agar dapat diambil alih sebagaimana dia ’merampas’ tanah milik KOSAN yang didirikan Wisma Bandaraya (sebelum ini dikenali sebagai Wisma Musman). Dengan wang dan peluang yang ada padanya, Musa Khan mungkin mampu merampas tanah milik USIA seluas 25 ekar yang didapati secara percuma atas kemuliaan hati Tengku Adlin dengan harga di bawah pasaran.

Ketika memegang jawatan Ketua Menteri, Musa Khan mendakwa dirinya memiliki harta sejumlah RM300 juta dan kini nilai harta mudah alih dan tetap milik peribadinya bernilai RM3 bilion!

Berapakah lot kedai atau ruang niaga yang diberikan kepada USIA?

Di atas tanah USIA inilah kini sedang dibina hotel bertaraf antarabangsa, kelab hiburan, pusat judi dan gelanggang maksiat dan pusat penjualan arak yang akan menentukan corak masa hadapan rakyat Sabah setelah projek mewahnya, Warisan Square berjaya kedudukan Raymond Chan Boon Siew.

Sedarkah Tun Sakaran bahawa 1Borneo menggaji lebih 3,000 pendatang asing tanpa izin secara haram? Di manakah penguatkuasa Imigresen, Rela, Polis, Pasukan Petugas Khas Persekutuan dan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri Sabah yang diterajui Musa Khan?

Selain USIA, Musa turut menggunakan Raymond Chan Boon Siew untuk memajukan projek usahasama Warisan Square yang dimiliki oleh Warisan Harta Sabah Sdn Bhd, sayap pelaburan milik majoriti Kerajaan Negeri Sabah.


Bertuahnya Raymond yang hanya mempunyai modal RM2 juta menjalankan usahama dengan Warisan Harta yang mempunyai modal berbayar RM393 juta!

Warisan Square merupakan muzium hidup atau Kompleks pameran dan penjualan barang berjenama terkenal dunia seperti Starhill di Kuala Lumpur dan bukannya untuk rakyat Sabah yang berpendapatan rendah. Semua lot Warisan Square telah habis dijual, namun Warisan Harta Sabah Sdn Bhd hanya mendapat beberapa lot kedai sahaja! Raymond dan Musa Khan tetap mendapat untung!

Tapak seluas 25 ekar itu sepatutnya dibina Universiti Islam Antara Bangsa swasta yang dimiliki USIA atau projek lain yang memberikan manfaat kepada rakyat Sabah atau ahli USIA secara keseluruhannya. Namun, Tun Sakaran telah serahkannya kepada Raymond dan Musa untuk dijadikan pusat perniagaan dan pelancongan.

Apabila siap kelak, 1Borneo akan mempunyai hotel tiga bintang, pusat perubatan pakar, kolej swasta, panggung wayang, pusat bowling, hypermall termasuk outlet judi, arak, urut dan sebagainya!